Tuesday, May 27, 2014

Muslimat bantah naik cukai pintu

Ahli Dewan Muslimat Pas Kawasan Marang diketuai Zarani mengadakan Himpunan Bantahan Kenaikan Cukai Pintu sempena Mesyuarat Agung Pas Kawasan Marang kali ke-29 di Marang.

..Dewan Muslimat Pas Kawasan Marang diketuai Zarani mengadakan Himpunan Bantahan Kenaikan Cukai Pintu sempena Mesyuarat Agung Pas Kawasan Marang kali ke-29 di Marang.

MARANG – Ratusan ahli Dewan Muslimat Pas Kawasan Marang mengadakan Himpunan Bantahan Kenaikan Cukai Pintu sempena Mesyuarat Agung Pas Kawasan Marang kali ke-29 di Dewan Tok Guru berhampiran Masjid Rusila, di sini.

Ketua Dewan Muslimat Pas Kawasan Marang, Zarani Othman berkata, Muslimat kawasan itu membantah cadangan menaikkan kadar cukai pintu kerana bakal menyusahkan rakyat ketika rakyat dihimpit dengan pelbagai kenaikan harga barangan dan kos sara hidup.

Menurutnya, Terengganu merupakan sebuah negeri kaya dengan sumber petroleum dan sumber lain, maka kerajaan tidak sepatutnya mengenakan cukai pintu kerana ramai rakyat Terengganu masih dihimpit kemiskinan dan kesusahan.

“Sepatutnya kerajaan memberikan bantuan dan kemudahan secukupnya untuk rakyat, bukan mengenakan cukai yang menyusahkan rakyat,” katanya pada Himpunan Bantahan Kenaikan Cukai Pintu sempena Mesyuarat Agung Pas Kawasan Marang, di sini.

Turut serta menyertai himpunan itu, Timbalan Pesuruhjaya 1 Pas Negeri Terengganu, Dr Alias Razak dan Yang Dipertua Pas Kawasan Marang, Yahaya Ali.

Mengulas lanjut, Zarani berkata, sebagai sebuah bandar raya, pihak berkuasa tempatan Kuala Terengganu perlu membuat persiapan secukupnya sebelum mengenakan cukai pintu.

“Kita (Muslimat) amat kecewa dengan pelbagai kekurangan infrastruktur asas tetapi masih lagi mahu dikenakan cukai (pintu) ini kepada rakyat,” katanya.

Justeru beliau berkata, kerajaan negeri perlu menarik balik cadangan menaikkan cukai pintu yang bakal dikenakan kepada rakyat Terengganu dengan memikirkan kesusahan dan keperluan rakyat, sebaliknya perlu memperbanyakkan bantuan kepada mereka.

Terdahulu, kerajaan negeri bercadang menaikkan cukai pintu di daerah Kuala Terengganu bagi memberi keadilan kepada Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) yang terpaksa menanggung beban kewangan dalam urusan pentadbirannya berikutan kadar cukai lama masih diguna pakai sejak 1981.

Menteri Besar ketika itu, Datuk Seri Ahmad Said bagaimanapun tidak menyebut kadar cukai baharu yang bakal dikenakan, namun tidak menolak kemungkinan ia dijangka dikuatkuasakan seawal tahun hadapan.

Beliau menyatakan perkara itu kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis Pengakuan Menerima Jawatan (Angkat Sumpah) Datuk Bandar, Yang Dipertua dan anggota-anggota Majlis Pihak Berkuasa Tempatan Terengganu di Wisma Darul Iman, Januari lalu.

No comments:

Post a Comment