Friday, May 30, 2014

Sultan Nazrin ikon masa depan institusi Raja-Raja

.
TELUK INTAN: PAS merakamkan  tahniah kepada Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang telah dimasyhurkan sebagai Seri Paduka Sultan Perak yang ke-35 atas kemangkatan Almarhum Raja Azlan Shah kelmarin.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub(gambar) berkata, PAS melahirkan rasa gembira kerana rakyat Perak dapat terus dipimpin oleh seorang Raja yang adil dan bijaksana dalam memandu rakyat ke arah satu kejayaan yang lebih cemerlang pada masa yang akan datang.

"PAS yakin dan percaya melalui pengalaman, pendidikan dan daya intelektual baginda sangat penting untuk dikongsikan bersama.

"Saya rasa bahawa Nazrin bukan sekadar dapat menyumbang pemikiran beliau kepada rakyat Perak hatta kepada masyarakat Malaysia serta antarabangsa diatas wibawa beliau yang sangat kita banggakan," katanya ketika ditemui Harakahdaily di Markas Induk PAS Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan, dekat sini hari ini.

Beliau menyatakan, Sultan Nazrin melambangkan seorang Raja yang mampu untuk membawa imej institusi Di-Raja ke arah lebih cemerlang yang dapat memastikan ianya sentiasa dimartabatkan.

Ujar Salahuddin, dengan kekuatan wibawa, peribadi dan pengetahuan beliau akan menjadi ikon kepada anak-anak muda Malaysia seperti mana beliau berkemampuan mencetuskan idea-idea serta gagasan pemikiran yang bersifat futuristik semasa beliau menjadi Raja Muda dahulu.

"Saya juga mengamati ucapan-ucapan beliau sewaktu menjadi Raja Muda. Ucapannya yang sarat dengan ilmu dan pengetahuan bukan sahaja dibanggakan rakyat Malaysia tetapi ianya menjadi satu rujukan dunia apabila berucap di persada antarabangsa.

"Ianya menampakkan kemampuan beliau sebagai seorang pemimpin di masa hadapan khususnya dalam mengangkat darjat dan wibawa institusi Raja-Raja Melayu di negara kita," jelasnya lagi.

Sementara itu, Dewan Pemuda PAS Malaysia merafakkan takziah di atas kemangkatan Almarhum Sultan Muhibbuddin Azlan Shah.

Naib Ketuanya,  Ir. Khairil Nizam Khirudin (gambar) berkata, Almarhum Sultan Azlan banyak meninggalkan legasi di persada negara terutamanya dalam bidang politik, perundangan, pendidikan dan sukan.

"Kehalusan pekerti, ketokohan, kebijaksanaan dan sikap mesra antara ramuan keperibadiannya yang terukir di benak rakyat," ujar beliau.

Khairil menambah Almarhum Sultan Azlan mempamerkan penanda aras seorang sultan yang versatil dan berwibawa dengan memiliki merit yang tinggi dalam bidang perundangan dan penghakiman.

"Dilantik sebagai Presiden Mahkamah Persekutuan Malaysia (kini Ketua Hakim Negara) yang termuda dalam sejarah. Malah, pelbagai rekod keputusan penghakiman baginda tercatat sebagai masdar penting samada di dalam mahupun di luar negara," ujarnya dalam satu kenyataan media.

Menurut Khairil, Almarhum Sultan Azlan menumpahkan pelbagai usaha dan inisiatif sehingga mendorong Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya merintis jalan menganjurkan The Sultan Azlan Shah Law Lecture Series (Syarahan Perdana Undang-Undang Sultan Azlan Shah) yang bertaraf dunia.

"Dedikasi dan semangatnya melambangkan kecintaan kepada ilmu dan budaya intelektual," ujar beliau.

Khairil turut mengimbau jasa-jasa dicurahkan Almarhum Sultan Azlan pada sukan hoki sehingga digelar Bapa Hoki Malaysia.

Beliau bagi mewakili Dewan Pemuda PAS turut merafak jutaan tahniah di atas pertabalan Dr. Raja Nazrin Shah sebagai Sultan Perak Darul Ridzuan ke 35.

"Perwatakan baginda juga mirip dengan Almarhum Sultan Azlan. Kami berharap pemerintahan baginda disinari dengan cahaya keadilan dan kebenaran. Sesungguhnya ia mengundang keberkatan dan rahmat dari Allah SWT," ujarnya.

Beliau turut menitipkan mutiara titah Almarhum Sultan Azlan, “Mahkota akan hanya mendapat tempat di muzium kalau institusi raja terkandas dalam menjalankan tugasnya yang sebenar.” - HARAKAHDAILY, 30/5/2014

Tuesday, May 27, 2014

Muslimat bantah naik cukai pintu

Ahli Dewan Muslimat Pas Kawasan Marang diketuai Zarani mengadakan Himpunan Bantahan Kenaikan Cukai Pintu sempena Mesyuarat Agung Pas Kawasan Marang kali ke-29 di Marang.

..Dewan Muslimat Pas Kawasan Marang diketuai Zarani mengadakan Himpunan Bantahan Kenaikan Cukai Pintu sempena Mesyuarat Agung Pas Kawasan Marang kali ke-29 di Marang.

MARANG – Ratusan ahli Dewan Muslimat Pas Kawasan Marang mengadakan Himpunan Bantahan Kenaikan Cukai Pintu sempena Mesyuarat Agung Pas Kawasan Marang kali ke-29 di Dewan Tok Guru berhampiran Masjid Rusila, di sini.

Ketua Dewan Muslimat Pas Kawasan Marang, Zarani Othman berkata, Muslimat kawasan itu membantah cadangan menaikkan kadar cukai pintu kerana bakal menyusahkan rakyat ketika rakyat dihimpit dengan pelbagai kenaikan harga barangan dan kos sara hidup.

Menurutnya, Terengganu merupakan sebuah negeri kaya dengan sumber petroleum dan sumber lain, maka kerajaan tidak sepatutnya mengenakan cukai pintu kerana ramai rakyat Terengganu masih dihimpit kemiskinan dan kesusahan.

“Sepatutnya kerajaan memberikan bantuan dan kemudahan secukupnya untuk rakyat, bukan mengenakan cukai yang menyusahkan rakyat,” katanya pada Himpunan Bantahan Kenaikan Cukai Pintu sempena Mesyuarat Agung Pas Kawasan Marang, di sini.

Turut serta menyertai himpunan itu, Timbalan Pesuruhjaya 1 Pas Negeri Terengganu, Dr Alias Razak dan Yang Dipertua Pas Kawasan Marang, Yahaya Ali.

Mengulas lanjut, Zarani berkata, sebagai sebuah bandar raya, pihak berkuasa tempatan Kuala Terengganu perlu membuat persiapan secukupnya sebelum mengenakan cukai pintu.

“Kita (Muslimat) amat kecewa dengan pelbagai kekurangan infrastruktur asas tetapi masih lagi mahu dikenakan cukai (pintu) ini kepada rakyat,” katanya.

Justeru beliau berkata, kerajaan negeri perlu menarik balik cadangan menaikkan cukai pintu yang bakal dikenakan kepada rakyat Terengganu dengan memikirkan kesusahan dan keperluan rakyat, sebaliknya perlu memperbanyakkan bantuan kepada mereka.

Terdahulu, kerajaan negeri bercadang menaikkan cukai pintu di daerah Kuala Terengganu bagi memberi keadilan kepada Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) yang terpaksa menanggung beban kewangan dalam urusan pentadbirannya berikutan kadar cukai lama masih diguna pakai sejak 1981.

Menteri Besar ketika itu, Datuk Seri Ahmad Said bagaimanapun tidak menyebut kadar cukai baharu yang bakal dikenakan, namun tidak menolak kemungkinan ia dijangka dikuatkuasakan seawal tahun hadapan.

Beliau menyatakan perkara itu kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis Pengakuan Menerima Jawatan (Angkat Sumpah) Datuk Bandar, Yang Dipertua dan anggota-anggota Majlis Pihak Berkuasa Tempatan Terengganu di Wisma Darul Iman, Januari lalu.

Wednesday, January 22, 2014

Presiden PAS Sempurnakan ‘Pecah Tanah’ Bangunan Baru MDI

MARANG – Majlis ‘Pecah Tanah’ pembinaan kompleks bangunan baru Madrasah Darul Iman (MDI) yang terletak dalam DUN Bukit Payong, akan disempurnakan oleh Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada 31 Januari 2014.
Menurut Pengarah Majlis tindakan DUN (MTD) tersebut, YB Ustaz Mohd Nor Hamzah, kompleks yang dijangka menelan belanja sebanyak RM400, 000 itu akan dilengkapi dengan ruang pejabat dan kedai.
“Angaran kos pembinaan kompleks tersebut RM400 ribu,didirikan setinggi 3 tingkat, aras pertama dibina ruangan pejabat dan kedai,
“aras dua pula akan dibina rumah penginapan, manakala aras tiga akan dijadikan dewan utama,”ujarnya ketika ditemui ketika membuat lawatan ke tapak kompleks tersebut.
MDI2Beliau berkata, dana untuk pembinaan seluruh kompleks pendidikan itu adalah hasil dari sumbangan orang ramai serta beberapa program yang dianjurkan MTD Bukit Payong, seperti jualan meja makan malam.
Beliau berharap, orang ramai terus memberikan sokongan kepada pendidikan Islam dan memberikan sumbangan kepada pembinaan yang sedang berlangsung.
“hasil dari dana Yang dukumpul setakat ini hanya mampu untuk pembinaan fasa pertama sahaja, untuk mencari dana tambahan, MTD Bukit Payong akan mengadakan satu lagi program besar,
“(iaitu) majlis makan sambil menderma disertakan dengan Majlis Pecah Tanah yang akan disempurnakan oleh Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi pada 31 Januari ini,”jelas beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong.
Beliau berkata, skim jualan lot wakaf bangunan tersebut juga telah dilancarkan dengan harga RM50 sekaki persegi.
“Untuk sebarang sumbangan, boleh dibuat terus ke akaun Maybank Kompleks Madrasah Darul Iman No akaun: 5630 1923 3967,
“sumbangan dari semua pihak amat diharapkan untuk mempercepatkan dan melancarkan perjalanan pembinaan kompleks tersebut,”tambahnya